BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

me...

me...

Thursday, December 29, 2011

Buat renungan bersama....


sila tekan tajuk entry untuk membaca...



Situasi 1
Seorang Perempuan A sedang mengakses laman sosialnya. Sedang 
matanya melilau membaca status-status terbaru kenalannya di alam 
maya, matanya tertancap pada sebuah kenyataan yang hampir 
meluruhkan jantungnya.Diklik pada dinding profile teman yang 
menulis. Lalu dibaca satu-persatu kenyataan berbaur amarah dan 
dendam tersebut. Teman tersebut, Perempuan B sedang 
menceritakan keburukan seorang teman yang amat dikenali 
Perempuan A. Malah hubungan itu terlalu akrab hinggakan 
Perempuan A turut terasa tempias dendam amarah
Perempuan B.  Perempuan B menzahirkan amarah dalam 
kenyataannya dan mula ditokok tambah oleh kenalan-kenalan 
yang lain. Tidak kurang juga yang menenangkan. Tapi lebih 
ramai yang bagaikan mencurahminyak ke bara api. Kerana
geram dengan kenyataan tersebut, Perempuan A membuka
blog peribadinya dan menulis kenyataan balas kepada status
di laman sosial tadi. Ya, marah menguasai diri. Geram juga
kerana merasakan dirinya turut terpalit dalam dendam lama itu.
Dirinya merasakan tidak sepatutnya Perempuan B
menghebahkan keburukan rakannya di laman sosial, lalu dia
cuba menasihati dalam geram dan setiap bait perkataan 
bagaikan lontaran ketidakpuasan hatinya yang tidak dapat
dijelaskan melalui laman sosial Perempuan B tadi.Perempuan 
B lalu terbaca. Aneh, nasihat yang ingin Perempuan A 
sampaikan bertukar menjadi kenyataan benci dan dendam. 
Perempuan B lalu mengatakan Perempuan A ingin 
memutuskan persahabatan dengan dirinya.Sedangkan, 
bukan itu maksud awal Perempuan A menulis di blognya. 
Namun, salah faham telah berlaku.Mereka tidak menyelesaikan
sesama mereka, tapi hanya membalas serangan di alam maya
yang turut disertai kenalan-kenalan yang tidak tahu menahu hujung
pangkal cerita. Pengakhirannya, Perempuan A telah dianggap
memutuskan persahabatan dalam keadaan dia ingin membela
teman lain. Manakala Perempuan B meraih simpati kenalan 
laman sosialnya yang langsung tidak memberi nasihat kebaikan 
tetapi hanya menuntut dirinya dibela dari terus berkawan dengan
Perempuan A.
Situasi 2
Seorang pekerja perempuan di salah sebuah syarikat minyak di 
Malaysia sedang menyelesaikan beberapa masalah sebut 
harga di ruang kerjanya. Deringan telefon berbunyi menandakan 
panggilan masuk dari bahagian pejabat yang lain.
Pekerja Lelaki : Tolong call supplier untuk tangguh penghantaran 
ke esok hari (secara berhemah meminta tolong).
Ada masalah di ruangan production. Tank ada masalah dan 
tidak dapat befungsi dengan baik. Mungkin esok baru boleh 
ready dengan raw material yang baru.
Pekerja Perempuan : Apa? (terkejut barangkali kerana terpaksa 
membuat panggilan sekali lagi) Mana boleh delay penghantaran. 
Lagipun supplier dah confirm nak datang hantar hari ini. Masalah 
tank tak boleh berfungsi awak pandailah cari penyelesaian sebelum 
tengah hari, dan supplier akan tetap datang hari ini.
Pekerja Lelaki : Sepatutnya tugas awak call supplier. Tak boleh ke 
tangguh ke esok hari. Tak kanla itu pun nak kena saya ajar. Tugas 
awak untuk berhubung dengan mereka cuba ringankan masalah 
production kita sekarang ni.
Awak tak tau buat kerja ke?
Terguris dengan kenyataan pekerja lelaki tersebut, lalu pekerja 
perempuan meluahkan rasa geram dan tidak puas hatinya di 
laman sosial. Ada yang menghangat lagi situasi dengan 
mengapi-apikan kenyataan. Dan akhirnya pekerja lelaki 
muncul membela diri dalam kenyataan balas menerangkan pada
kenalan lain duduk sebenar dirinya dalam situasi ini. Pekerja 
perempuan tidak puas hati, lalu terus-terusan menolak kenyataan 
pekerja lelaki. Yang memerhati, membaca dan membalas status
tersebut ada yang membantu menjernihkan keadaan. Namun, 
masalah tetap tidak selesai kerana segala-galanya hanya di laman 
sosial.
Perempuan, Laman Sosial dan Emosi
Dua situasi saya hidangkan dalam artikel kali ini sebagai permulaan 
kepada ketiga-tiga perkara di atas  (perempuan, laman sosial dan
emosi) yang akhirnya telah membawa kepada satu titik di mana, 
telah robek sebuah hubungan persahabatan di antara dua teman 
dan dua rakan sekerja. Malahan, rakan-rakan lain yang 
memerhatikan turut terlibat secara tidak langsung sama ada 
membela sebelah pihak yang lain atau telah tertanam dalam
diri mereka beberapa persepsi negatif terhadap pihak-pihak 
yang terlibat.  Akhirnya juga, tiada kebaikan yang terlihat malah 
keburukan telah dipamerkan sejelas-jelasnya buat tatapan seluruh 
dunia dan mereka yang mengenali.Laman sosial, tidak ingin saya 
fokuskan yang mana kerana anda sendiri sudah arif dengan dunia
maya ini.Tujuan utamanya, untuk menghubungkan yang jauh 
mengeratkan yang dekat, menyebarkan kebaikan bagi mereka yang 
berIman dan bertaqwa, menghebahkan keburukan dan kerosakan
 bagi setengah yang lain. Dan sedarkah kalian, wahai Muslimah, 
wanita-wanita zaman sekarang bahawa laman sosial sebegini telah 
membuka hijab kita kepada dunia yang penuh tipu daya. Dunia yang
kita sendiri cipta, dan hanya dengan benteng tarbiyah sahajalah kita 
mampu mengawal kerakusan di dalamnya.
Sedihnya, dengan kebejatan teknologi dan kemudahan dunia maya 
sebegini, ramai Muslimah dan wanita telah merobek pakaian 
malu mereka secara terang-terangan. Walaupun segalanya hanya 
berlaku di alam maya, tidak berjumpa secara fizikal, tidak berbicara 
dari mata ke mata, wanita sudah semakin berani menanggalkan 
hijab malunya. Kita sudah berani mempamerkan emosi di laman 
sosial tanpa segan silu, meraih simpati mereka yang mengenali 
kita, meluahkan emosi, mencari sekelumit nasihat tanpa sedar 
telah meragut maruah insan lain dan lebih menyedihkan kita 
sanggup memutuskan sebuah hubungan dengan teman, dengan 
keluarga dan mungkin saja dengan insan-insan yang sangat 
menyayangi kita.
Teori Barat
Pengkritik dari gerakan feminist Barat telah mengatakan bahawa 
wanita perlu bergerak ke hadapan, menafikan semua 
kenyataan yang juga dibawa oleh fahaman Barat bahawa wanita
hanya bergantung pada lelaki, lemahdan tidak bertamadun. 
Gerakan feminist juga menggalakkan wanita untuk tampil 
menguasai segala bidang, bersuara menyatakan pendapat dan 
menentang segala bentuk penindasan fizikal, emosi, dan rohani. Dalam
teori ini, terdapat satu terma yang acapkali digunakan iaitu agency 
atau kebolehupayaan, kuasa, hak kepada individu untuk bertindak 
menurut kehendaknya, menyatakan pendapatnya, berdiri atas 
keupayaan dirinya tanpa dihalang oleh mana-mana unsur.  Dari 
sini pula terdapat dua jenis agency iaitu agency secara covert 
(dalaman) dan agency secara overt (terang-terangan).  
Hakikatnya, teori ini telah memperkenalkan kepada wanita 
beberapa kebaikan dalam tidak sedar juga, jika wanita itu 
tidak dibenteng dengan kekuatan aqidah akan menyebabkan 
dirinya terjatuh ke lembah kehinaan.
Di sinilah saya ingin membuktikan bahawa, kebolehupayaan 
wanita kini untuk tampil kehadapan, telah sedikit sebanyak 
melunturkan warna pakaian malu mereka. Bukanlah saya 
menentang kaum wanita untuk ke hadapan kerana hakikatnya 
wanita juga harus bergerak kehadapan, tetapi kenapa sampai 
begini sekali kita ingin  melondehkan sifat malu yang telah Allah
kurniakan pada kita? Wanita telah mempertahankan agency 
mereka secara overt. Bukan lagi secara covert. Tanpa mereka 
sedar, tindakan overt agency itulah yang melondehkan pakaian malu 
mereka.
Muncul di laman sosial dengan meluahkan emosi, mengeluarkan
 kenyataan-kenyataan yang tidak malu…
adakah ini yang kita belajar dari maksud hadith
Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri ra. dia 
berkata, “Rasulullah saw bersabda, 
‘Sesungguhnya sebuah ungkapan yang telah dikenal 
banyak orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah:
 ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.” (HR. Bukhari)
Adakah laman sosial kita itu Tuhan untuk kita raih simpati darinya
dengan meluahkan segala permasalahan sosial. Lihat sajalah 
kesannya pada dua situasi di atas, yang akhirnya telah 
mengoyakkan hubungan persahabatan yang dibina 
sekian lama dengan hanya satu kenyataan di laman sosial 
berbaur emosi, amarah, nafsu, geram dan sebagainya. 
Di mana penyelesaiannya??
Kita sudah tidak malu wahai wanita. Kita malu dalam 
berpakaian. Tapi tidak malu dalam mengeluarkan 
kenyataan di laman sosial. Adakah ini yang Islam 
ajarkan? Hanya sebahagian yang kita jaga, 
sebahagian lagi kita dedahkan. Kita dah sering dengar,
 terbaca malah lihat banyak kenyataan tentang menjaga 
malu dari segi berpakaian. Tapi bab yang satu ini kita 
terlepas pandang. Kita tidak menjaga malu kita di laman sosial.
Sedih bukan?
Dengan hanya satu kenyataan, kita telah membuka aib diri kita, 
membuka ruang juga untuk orang lain mengenali
aib rakan kita yang sepatutnya kita tegur secara bersemuka 
bukan dengan cara mendedahkan di ruangan di 
mana satu dunia boleh lihat dan baca.
Muhasabah wahai diri
Ya, kita ingin membela diri. Kita ingin diberi perhatian, 
kita ingin mendapatkan nasihat untuk semua permasalahan.
Itu fitrah kita sebab itu Allah bekalkan Al-Quran dan Allah 
utuskan Rasulullah sebagai qudwah.  Mulakan dengan 
langkah ketaqwaan dalam meluahkan emosi, moga 
dengan izin Allah atas rahmatNya kita beroleh ketenangan 
dan penyelesaian. Jika emosi dan nafsu yang merajai
tindakan kita, maka beginilah jadinya apabila terang-terangan 
mempamerkan aib di laman maya. Sesungguhnya malu itu 
hanya akan melahirkan sesuatu yang baik.
Imron bin Hushoin ra berkata: “Rasulullah saw bersabda, 
‘ Malu itu tidak akan menimbulkan sesuatu 
kecuali kebaikan semata.” (HR. Bukhari, Muslim)
Kita muhasabah kembali dengan menyelak lembaran 
hadith Rasulullah.
Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, 
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk
 bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki 
lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr 
radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr 
‘sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus
mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan 
dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr,
namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk 
kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr
dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.
Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam 
bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: 
“Apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah?
” Baginda menjawab: “Tidak. Cuma semasa kamu 
mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak 
terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu 
mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu 
Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat 
yang Syaitan duduk di situ.”
[ Hadith riwayat Abu Dawud]

Muhasabah buat diri saya dan semua yang membaca. 
Saya fokuskan kepada wanita, kerana saya sayang diri 
saya dan anda. Maka mari sama-sama bergerak selamatkan 
sifat malu kita. Seindah hiasan adalah wanita solehah dan 
wanita solehah itu yang menjaga malunya. Moga Allah golongkan
kita bersama-sama muslimah lain yang tinggi sifat malunya.
© Langitilahi.com

- artikel ini saya kongsi daripada blog langitilahi... perkongsian 
yang sungguh bermakna dan meninggalkan kesan dalam 
diri saya..saya akui kadang-kadang saya pun menjadi
manusia yang terlalu bereemosi,dan situasi di atas baru 
sahaja berlaku pada saya. Dan
saya tahu saya tak boleh putar balik masa itu
untuk menjernihkan balik segalanya.
saya harap selepas ini, saya dapat menjadi seorang 
yang lebih sabar .. Mengelakkan emosi mengatasi diri 
memang sangat susah,  InsyaALLAH saya harap saya  
belajar dari kesilapan lalu...

p/s: kadang-kadang kita perlu mencari untuk mendapat 
ketenangan tu.. artikel ini saya tujukan untuk diri saya 
sendiri dan kawan2 yang membaca.. semoga kita 
sama-sama muhasabah diri kita.. 




0 comments: